Friday, 29 August 2014

Sesuatu yang Menari-nari di Minda

Kala tersedar dari lamunan yang panjang
Teringat aku suatu ketika dahulu
Sebelum aku pantas berlari
Aku belajar mengesot
Kemudian merangkak
Setelah seketika
Kaki mungilku bingkas mahu bangkit
Berpasakkan tangan mak, abah, dinding, meja dan kerusi
Aku belajar bertateh
Bangun, jatuh, bangun, jatuh dan bangun kembali
Itu perkara biasa
Mengenal langkah pertama, kedua dan seterusnya
Kini aku pantas berlari
Berkejaran ke sana sini
Tanpa rasa kekok seperti langkah pertamaku
Suatu ketika dahulu

Maka dengan itu aku tersedar
Mungkin kerana itu ada orang kata
Mahu menjadi penulis
Jadilah pembaca dahulu
Sebelum jadi guru
Jadilah anak murid dahulu
Mahu mencorakkan dunia
Belajarlah mewarna dahulu

Aku orang muda
Adakala
Berkobar-kobar semangat di dada
Tinggi iltizam
Adakala
Terlalu rakus mengambil langkah
Terus berlari pecut

Bukan apa
Aku orang muda
Kadangkala
Lupa melihat sejarah
Ya
Sebelum aku bisa berlari
Aku bertateh terlebih dahulu

Sabar
Kehidupan itu ada seninya tersendiri
Jangan lupa
Selangkah-selangkah menapak
Moga kelak tidak sakit jatuh tersungkur
Serta mampu bangkit andai terjatuh

Wacana buat diri sendiri
Kerana ia seperti menari-nari di minda

*****

Intan Zubaidah bt Mohamad Hatta
Sambil mengunyah mini samosa
11.58am

No comments :

Post a Comment